MAAFKAN saya", ungkapan yang dinisbahkan kepada manusia dalam memohon maaf sesama manusia. Ia cukup berat diucapkan kecuali menjelang hari raya. "Ya Allah! Ampunkanlah dosaku" suatu lafaz menjadi kelaziman seharian memohon keampunan Allah. Pepatah Melayu menyatakan, bumi mana tidak ditimpa hujan, lautan mana tidak bergelora. Perumpamaan yang menyatakan persoalan, pasti semua orang ada jawapannya. Begitulah kehidupan manusia, terpalit dan dipalit dosa, kecil mahupun besar.
Sebagai manusia kita tidak dapat lari daripada melakukan dosa sama ada sesama makhluk atau dengan Allah. Tabir Ramadan hadir dengan kerahmatan, keampunan dan pembebasan daripada api neraka bagi hamba Allah yang beriman dan bertakwa.
Sepanjang Ramadan kita sering mendengar doa diajar Rasulullah SAW menerusi hadis diriwayatkan oleh At-Tirmidzi, An-Nasai'e dan Ibn Majah. Daripada Saidatina Aisyah katanya, wahai Rasulullah, jika aku melihat Lailatul Qadr, apakah doa yang boleh dibaca? Sabda Baginda SAW, katakanlah (berdoa): Ya Allah ya Tuhan kami! Sesungguhnya engkau yang maha pengampun, ampunkanlah (dosa) aku."
Berdasarkan doa ini, sebagai Muslim kita sewajarnya menyandarkan harapan kepada Allah supaya mengampunkan dosa yang dilakukan. Allah juga meletakkan keutamaan taubat seseorang dengan keampunan daripada-Nya sehingga keburukan mereka digantikan dengan kebaikan.
Keluasan keampunan Allah dan rahmat-Nya meliputi seluruh dosa orang bertaubat. Perkara itu dirakamkan menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hambaKu yang sudah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah juga yang maha pengampun, lagi maha mengasihani." (Surah az-Zumar, ayat 53)
Imam Nawawi dalam kitabnya Riadhus Solihin menyatakan ulama berpendapat bertaubat daripada setiap dosa yang dilakukan hukumnya wajib. Jika dosa itu berkaitan dengan Khaliq (Allah) dan dengan manusia. Ia terangkum dengan empat syarat taubat utama iaitu:
l Berhenti daripada melakukan kemaksiatan kepada Allah.
l Menyesali perbuatan yang sudah dilakukan.
l Berazam tidak mengulangi perbuatan itu selama-lamanya.
l Jika dosa itu berkaitan dengan manusia perlu diselesaikan seperti mengembalikan harta diambil dengan cara salah kepada tuannya. Jika barang sudah hilang atau habis digunakan perlu diminta halal daripada tuannya. Jika menuduh atau memfitnah wajar memohon maaf atas segala perbuatan.
Nilai kemaafan bagi setiap mukmin di sisi Allah dengan keutamaan kepada orang yang bertaubat kepada-Nya ialah darjat tertinggi iaitu kasih sayang Allah Tuhan semesta alam. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa menyucikan diri." (Surah al-Baqarah, ayat 222)
Firman Allah yang bermaksud: "Terimalah apa yang mudah engkau lakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang jahil (degil dengan kejahilannya)." (Surah al-'Araf, ayat 199)
Imam Ibn Abi Hatim dalam tafsirnya menyatakan hadis Nabi SAW. Daripada Yunus bin Abdul A'la, katanya tatkala turun ayat ini (ayat 199 surah al-'Araf), Rasulullah SAW bertanya kepada Malaikat Jibril apakah (maksud ayat) ini, wahai Jibril? Jawab Jibril: "Sesungguhnya Allah memerintahkan engkau supaya memaafkan orang yang menzalimi engkau dan memberi kepada siapa yang menghalang (menentang) engkau dan hubungkanlah tali kekeluargaan dan persaudaraan (silaturahim) bagi siapa yang memutuskannya." (Tafsir Ibn Abi Hatim)
Thursday, 16 April 2009
Empat syarat mohon ampun kepada Tuhan, sesama manusia
Posted by amn077 at 21:23
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment