BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Thursday 16 April 2009

Panduan : 25 Pesanan Luqmanul Hakim

Mari kita hayati bersama beberapa pesanan/nasihat yang telah diberikan oleh Luqmanul Hakim…
01 - Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada Allah .
02 - Orang - orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima
nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari Allah . Orang yang
insaf dan sedar setalah menerima nasihat orang lain, dia akan
sentiasa menerima kemuliaan dari Allah juga.
03 - Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri
dalam beribadat dan taat kepada Allah , maka dia tawadduk kepada
Allah , dia akan lebih dekat kepada Allah dan selalu berusaha
menghindarkan maksiat kepada Allah .
04 - Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana
kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan
baja bagi tanam tanaman.
05 - Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang
itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu
malam.
06 - Dan selalulah berharap kepada Allah tentang sesuatu yang
menyebabkan untuk tidak menderhakai Allah . Takutlah kepada Allah
dengan sebenar benar takut ( takwa ), tentulah engkau akan terlepas
dari sifat berputus asa dari rahmat Allah .
07 - Hai anakku; seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya
kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya
akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah,
memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada
memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.

08 - Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat
batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada
semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang
jahat.

09 - Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh
sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya
dirimulah saja yang layak menjadi utusan.

10 - Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan,
bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu
telah memberikan akibat yang berbahaya.

11 - Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang
mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang
mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat
sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu
kepada kesenangan duniawi sahaja.
12 - Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana
sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila
makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.
13 - Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana
manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya
sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran
dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

14 - Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang yang takwa
dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara
meminta nasihat dari mereka.
15 - Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau
selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal
itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah
banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu
menambahkannya.

16 - Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka
ujilah terlebih dahulu dengan berpura pura membuat dia marah.
Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan
kamu,maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak
demikian, maka berhati hatilah.
17 - Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis
wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya
seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang
berharga.

18 - Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya
sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun
biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.
19 - Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang
tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain
kerana itu adalah sifat riya~ yang akan mendatangkan cela pada dirimu.
20 - Hai anakku; janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan
hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan
Allah bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang
lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.
21 - Hai anakku; usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata
kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih
selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu
mendatangkan manfaat bagi orang lain.

22 - Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana
sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang
pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu,
janganlah mensia siakan hartamu.
23 - Barang sesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa
yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun,
dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor
tentu akan menyesal.
24 - Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi
berilmu.
Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini
mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari
mutiara kata katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air
hujan.
25 - Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja,
dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan
engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti
engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain.
Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis
airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah
tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat
talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.
Wallahua’am…

sumber: pakarhowto.com

0 comments: