BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, 12 April 2009

Wukuf beri ingatan nasib di padang Mahsyar

JUTAAN jemaah menuju ke Arafah untuk menyempurnakan rukun haji. - Gambar hiasan
Perhimpunan terbesar umat manusia di Arafah ibarat hari kebangkitan semula untuk diadili

TIDAK ada amal ibadah dalam Islam yang sesemarak dan seramai wukuf di Arafah. Lebih tiga juta umat Islam seluruh pelosok dunia berhimpun pada satu masa, di satu tempat dengan satu tujuan, satu seragam dan satu amalan. Mereka akan memulakan rukun haji bersama selepas tergelincir matahari dengan solat Zuhur dan Asar jamak takdim, satu azan dan dua kali kamat sambil melantunkan doa kepada Allah SWT yang selesai sebelum terbenam matahari hari ini, 9 Zulhijjah 1429H bersamaan 7 Disember 2008.

Berasal daripada kata dasar 'wa-qa-fa' bererti diam, berdiri, wukuf di Arafah adalah satu daripada rukun haji paling utama kerana disebutkan dalam hadis al-hajju 'arafah yakni kesempurnaan haji berada dalam wukuf di Arafah.

Tanah seluas 10,4 kilometer persegi dan arah Tenggara Masjidil Haram dengan jarak 22 kilometer itu dinamakan Arafah kerana beberapa sebab. Dinamakan demikian kerana Adam dan Hawa bertemu dan saling mengenal kembali, ta'aruf, pertama di sana selepas diturunkan ke bumi.

Dinamakan juga Arafah kerana di sana malaikat Jibril as mengajar, 'arrafa, Nabi Ibrahim as mengenai manasik haji. Selepas itu Jibril bertanya kepada Ibrahim: "Sudahkah engkau faham?" Dan dijawab oleh Ibrahim: "Ya, aku sudah faham," yakni araftu. Selain itu, Ibn Abbas berpendapat dinamakan Arafah kerana di sana manusia mengakui, i'tiraf-ya'tarifun, dosa dan kesalahannya. (Dr Muhammad Abdul Ghani, Tarikh Makkah al-Mukarramah)

Arafah disebut dalam al-Quran maksudnya: "Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang 'Arafah (menuju Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa, talbiah dan tasbih) di tempat Masy'ar al-Haram (di Muzdalifah)." (Surah al-Baqarah: 198) Di padang Arafahlah turun ayat terakhir al-Quran yang maksudnya: "Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu." (Surah al-Maidah: 3)

Arafah sebagai tempat wukuf ditetapkan oleh Baginda Rasulullah SAW dengan hadisnya bermaksud: "Aku wukuf di sini dan Arafah seluruhnya adalah tempat untuk melaksanakan wukuf." (Hadis riwayat Muslim)
Dengan berkumpulnya jutaan manusia di Arafah yang diiring dari semua penjuru dunia mengingatkan kepada kita kejadian pada kiamat iaitu hari dibangkitkan semua manusia daripada mati. Mereka dihimpunkan di padang Mahsyar untuk diadili Allah SWT.

Umat Islam mengimani hari kebangkitan daripada alam kubur selepas ditiup sangkakala kali ketiga. Allah membangkitkan mayat dalam kubur, maka bangkit semua manusia menghadap Tuhan seluruh alam tanpa alas kaki, telanjang dan tidak dikhitan (Hadis Bukhari dan Muslim); matahari dekat dengan mereka; antara mereka ada yang keringatnya bercucuran sampai ke mulut. Orang pertama dibangkitkan dari bumi ialah Nabi Muhammad SAW. (Hadis riwayat Ibnu Abi 'Ashim, Ibnu Hibban dan Abu Ya'la)

Pada hari besar itulah manusia keluar daripada kubur seperti belalang berterbangan datang dengan pantas kepada Penyeru itu. Semuanya terdiam tidak bergerak ketika ditebarkan catatan amal, maka terlihat semua yang tersembunyi, nampak segala yang tertutup dan terbuka keburukan yang tersimpan di dalam hati. Allah akan berbicara langsung dengan manusia pada hari itu; tidak ada penterjemah antara Allah dan mereka.

Dalam kitab rujukan akidah, Syarh al-'Aqidah al-Tahawiyyah disebutkan: "Kita beriman kepada kebangkitan, pembalasan amal perbuatan pada hari kiamat, pemeriksaan, hisab, pembacaan rekod amal, pahala, seksa, al-sirat, timbangan, syurga, neraka, yang kedua-duanya sudah dicipta yang tidak akan musnah selama-lamanya dan tidak akan hancur." (hal. 404-05)
Mengenai dihidupkan kembali manusia selepas mati di padang Mahsyar, Allah menjelaskan dalam al-Quran maksudnya: "(Ingatlah) masa hari bumi ini diganti dengan yang lain, demikian juga langit; dan manusia semuanya keluar (dari kubur masing-masing) berhimpun mengadap Allah, Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa." (Surah Ibrahim: 48) Mengapa manusia dikeluarkan dari kubur mereka? Allah menjelaskan maksudnya: "(Keluar manusia dari kubur masing-masing itu ialah) kerana Allah akan membalas tiap-tiap seorang apa yang dia telah usahakan; sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisab-Nya." (Surah Ibrahim: 51)

Hari kebangkitan manusia di padang Mahsyar amat dahsyat digambarkan al-Quran dengan ayat bermaksud: "Sesungguhnya hari pemutusan hukum itu, adalah satu masa yang ditentukan. Iaitu masa ditiup sangkakala, lalu kamu (bangkit hidup) serta datang berpuak-puak (ke Padang Mahsyar); dan (pada masa itu) langit dipecah belahkan sehingga setiap belahan menjadi ibarat pintu yang terbuka luas dan gunung-ganang � selepas dihancurkan - diterbangkan ke angkasa, lalu menjadilah ia bayangan semata-mata seperti riak sinaran panas di padang pasir." (Surah al-Naba: 17-20)

Pada masa itu manusia akan menuju tempatnya sama ada maksudnya: "Sesungguhnya neraka Jahannam disediakan untuk orang yang melampaui batas hukum Tuhan, sebagai tempat kembalinya. Mereka tinggal di dalam berkurun lamanya," (Surah al-Naba: 21-23).

Mahupun maksudnya: "Sesungguhnya orang yang bertakwa, disediakan syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini. (Mereka akan beroleh) taman bunga dan kebun buah-buahan, terutama anggur dan perawan yang sebaya umurnya. Serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman. Mereka tidak mendengar di dalam syurga perkataan yang sia-sia dan tiada pula perkataan yang dusta; sebagai balasan daripada Tuhanmu iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikan-Nya." (Surah al-Naba: 31-36)

Jika jemaah haji yang berwukuf di padang Arafah pada hari ini dijanjikan untuk diampunkan dosa mereka oleh Allah SWT, bagaimana dengan kita yang belum memperoleh janji terbabit? Jika jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah pada saat ini bersungguh-sungguh dalam berdoa memohon keampunan Allah di tempat yang mulia, bagaimana kita yang tidak berada di sana?

Jika jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah melihat dan membayangkan Padang Mahsyar selagi mereka hidup, bagaimana dengan kita yang tidak mengalaminya?

Jangan risau mahupun gelisah, wahai saudara! Jangan bersedih dan gundah gulana wahai, sahabat! Disebut dalam hadis Qudsi maksudnya:

"Pada hari kiamat Allah berfirman: "Pada hari ini orang yang berkumpul (di Padang Mahsyar) akan mengetahui siapa yang termasuk dalam keluarga utama." Sahabat bertanya: "Siapakah ahli (keluarga utama itu, Ya Rasulullah?" Nabi SAW menjawab: "Mereka itu ialah keluarga majlis zikir di masjid." (Hadis riwayat Ahmad) Bersediakah anda?

0 comments: