BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, 16 April 2009

Menyemat azam untuk berubah

ALHAMDULILLAH tiga hari yang lepas kita baru sahaja menempuh hari pertama dalam tahun baru hijrah 1430. Hari ini pula kita diberi kesempatan umur untuk menempuh hari pertama dalam Tahun Baru 2009.
Syukur ke hadrat Ilahi atas nikmat usia hidup yang masih kita kecapi, bermakna peluang masih terbuka luas buat kita menambah amal kebaikan, serta menginsafi atas kesilapan yang lalu.
Tahun baru azam baru
Maka dengan peristiwa ketibaan tahun baru ini mendorong kepada wujudnya cetusan bagi kebanyakan daripada kita untuk membina azam baru, iaitu matlamat yang diharapkan dapat membawa kegembiraan apabila kita berhasil mencapainya.
Dalam memastikan azam yang disemat itu tercapai, hal ini menuntut kita merenung corak usaha sebelum ini tentang sejauh mana hasilnya. Lalu kita perlu membuat penambahbaikan terhadap perancangan serta pelaksanaan agar usaha mendatang bakal mewujudkan hasil yang lebih baik.
Elemen tawakal juga tidak seharusnya dilupakan dalam pada kita berusaha mencapai azam. Sebagai insan, kita merancang untuk mencapai sesuatu matlamat, namun natijahnya tetap berada dalam ketentuan Allah.
Berjaya atau tidak, sifat reda serta bersangka baik terhadap Allah perlu ada. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita. Mungkin jika kita gagal, kegagalan itu sebenarnya membawa hikmah yang lebih besar buat kita.
Dan jika kita berjaya pula, kejayaan itu juga sebenarnya membawa bersama tanggungjawab untuk mengurus kejayaan tersebut. Kejayaan yang dicapai tidak sepatutnya membuatkan kita lupa diri, insan lain serta pedoman agama.
Sebaliknya, kejayaan itu seharusnya dikongsi bersama insan lain serta menjadi medan buat membantu mereka yang kurang bernasib baik. Kejayaan yang dicapai juga boleh berperanan sebagai batu loncatan untuk meniti kejayaan lain yang lebih baik.
Masa berlalu usia bertambah
Masa berlalu dan usia manusia juga bertambah seiring berlalunya masa. Seiring itu juga manusia semakin kaya dengan pengalaman hidup. Persekitaran berubah, begitu juga dengan manusia itu sendiri.
Mengambil pengajaran daripada kata-kata Saidina Umar al-Khattab r.a., iaitu kita perlu menjadikan hari ini lebih baik daripada semalam, bermaksud perubahan diri kita seiring usia seharusnya membuahkan peningkatan diri dari semasa ke semasa.
Perubahan yang fitrah itu merupakan perubahan yang membawa kebaikan. Tuntutan untuk berubah ke arah kebaikan itu tidak semestinya terikat pada masa-masa yang tertentu sahaja, umpamanya peristiwa tahun baru.
Islam menuntut kita untuk sentiasa bermuhasabah diri. Muhasabah diri mendorong kita menilai buruk baik perbuatan yang kita lakukan demi mencetuskan keinginan untuk memilih tindakan yang lebih baik pada masa akan datang.
Justeru, apa jua peristiwa yang berlaku, sama ada terhadap kita ataupun insan lain, membawa bersama hikmah serta pengajaran. Asalkan sahaja kita melihat setiap peristiwa itu dengan mata akal dan hati yang mendambakan cetusan untuk berubah.
Sebagai contoh, seseorang remaja yang suka menunggang motosikal dengan laju beserta aksi lasak, kemudiannya berlumba haram dengan remaja yang lain. Takdirnya, rakannya menemui ajal akibat kemalangan dalam perlumbaan tersebut.
Tidakkah terdetik dalam hati remaja tersebut bahawa dia telah menyaksikan sendiri akibat perbuatan menunggang motosikal dengan cara yang membahayakan? Dan tidakkah dia begitu bernasib baik sekali bahawa peristiwa itu tidak menimpa dirinya yang mana boleh menyebabkannya menamatkan hidup dengan cara yang sia-sia?
Andainya remaja tersebut melihat peristiwa itu sebagai satu cetusan kesedaran untuk berubah buat dirinya, maka dia tidak lagi akan menunggang motosikal dengan cara yang membahayakan serta menjauhi pergaulan bersama rakan-rakan yang masih hanyut dengan keghairahan sedemikian rupa.
Cetusan membawa perubahan
Cetusan kesedaran tersebut sebenarnya merupakan satu pengajaran buat dirinya dan juga sebagai kurnia hidayah daripada Allah buat hamba-Nya agar kembali kepada fitrah kehidupan sebenar.
Justeru, cetusan rasa yang mendorong kepada kebaikan itulah yang kita doakan dan harapkan untuk mendatangi hati kita dan seterusnya menjadi anak tangga untuk kita terus berubah ke arah kebaikan.
Cetusan dialami disusuli dengan fikir tentang situasi yang berlaku, berpandukan asas persoalan apa dan mengapa. Fikir tersebut kemudian dihubungkan dengan zikir iaitu mengaitkan peristiwa yang berlaku dengan ajaran Islam sebagai panduan dalam berfikir.
Langkah susulan perlu ada sebagai pengukuhan terhadap kesedaran yang timbul. Proses perubahan tabiat tidak dapat berlaku dalam sekelip mata, perlu ada istiqamah serta berdikit-dikit agar akhirnya tabiat baru yang lebih baik dapat tersemat kukuh dalam diri.
Kesimpulan
Bersempena peristiwa Tahun Baru 1430 Hijrah ini marilah kita bersama-sama jadikannya sebagai titik perubahan menuju maksud hidup yang sebenar sebagai seorang Muslim.
Dengan bermuhasabah, kita dapat mengenal pasti kelemahan diri beserta kesilapan lalu dan menanganinya agar tindak tanduk kita pada masa depan akan ada peningkatan dari sudut pemikiran, keimanan dan akhlak.
Ibarat resmi padi, semakin tunduk semakin berisi, semakin meningkat umur kita sewajarnya menjadikan kita berubah menjadi semakin matang dan semakin mendekati kehidupan yang fitrah.

sumber: Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS fikrahremaja@yahoo.com

0 comments: