Songsangnya falsafah hidup, keperibadian, peradaban yang hanya berkiblatkan akal minda yang dengkel. Walaupun zahirnya terserlah kehebatan duniawi golongan tersebut tetapi hakikatnya mereka sendiri terbeban dengan dunia karut ciptaan mereka sendiri. Kembalinya kita pada Islam yang syumul bukan sahaja seorang muslim bahkan mukmin yakni “melakukan yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran” akan menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat kerana tujuan hidup yang sangat sementara ini adalah sangat subjektif bergantung pada individu. Beberapa siri temubual dan kajian ringkas yang saya jalankan secara spontan terhadap pelbagai lapisan masyarakat mendapati apabila seorang manusia yang faham akan ajaran agama yakni Islam jawapan untuk tujuan kehidupan kita sangat ringkas tetapi sangat luas meliputi jangkauan akal, masa dan tujuan. Cubalah anda pergi kepada sesiapa sahaja samaada ahli keluarga, kawan-kawan, golongan professional, para jutawan malah sesiapa sahaja maka tanyalah mereka “Apakah tujuan kita hidup?” dan nantikan jawapan mereka yang pelbagai.
Jawapan pada kesempurnaan hidup yang hakiki hanya ada di syurga, itulah tujuan sebenar kita ini hidup di dunia yang sememangnya sementara ini. Bertepatan dengan tujuan kita dicipta oleh Allah di dunia ini yang telah dinyatakan oleh Allah sendiri di dalam Al-quran yang bermaksud “tidak ku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaku”. Ayat ini menjelaskan bahawa tugas dan tanggungjawab manusia adalah untuk beribadat kepadanya yang berlandaskan pada hanya Al-quran dan Hadis Rasulullah sendiri. Kemudian Allah menjelaskan bahawa kita, yakni umat nabi Muhammad adalah umat yang terbaik diciptakan dalam ayat yang bermaksud “kamu adalah sebaik-sebaik umat yang diciptakan dari kalangan manusia untuk melakukan yang baik (ma’aruf) dan melarang kemungkaran (mungkar)”. Maka wajiblah kita meletakkan syurga sebagai dasar dalam tujuan dalam kehidupan kita ini, syurga juga satu perkataan yang digunakan oleh agama lain bagi menggambarkan kesudahan hidup yang penuh nikmat dan abadi selepas kematian seseorang penganut agama tersebut. Kristian, Budha, Hindu dan beberapa macam agama yang telah wujud di dunia ini telah meletakkan syurga sebagai pengakhiran yang tertingi selepas kematian. Dengan itu terciptalah filem-filem yang mahu menggambarkan tentang keindahan syurga oleh para pencipta filem dari Hollywood, Bollywood dan sebagainya, malah pernah terjadi dalam sejarah, penguasa atau raja-raja dahulukala ingin mencipta syurga mereka sendiri yang akhirnya sekarang ini menjadi tatapan tinggalan sejarah. Yang mereka sendiri telah tinggalkan dunia yang fana ini tetapi dalam masa yang sama tertanyakah kita apakah mereka sedang menikmati syurga ciptaan mereka itu, maka kesianlah kiranya syurga Allah pun tidak jadi balasan pada mereka akhirat kelak.
Sesungguhnya janji nikmat syurga Allah pada hamba yang mukmin adalah suatu yang tidak perlu kita fikirkan kerana ianya ternyata di luar bidang imiginasi manusia itu sendiri. Dengan memperoleh kehidupan nikmat yang kekal abadi, tiada hari tua, tiada sifat durja bahkan segalanya adalah kesempurnaan yang kita cari pada hari ini, ada di sana. Macam mana sekalipun kita berusaha untuk mencapai kesempurnaan hidup di dunia ini ternyata hanya sisipan kenyataan sahaja tapi di syurga kelak bukan omong kosong atau khayalan visualisasi tapi kenyataan yang agung akan terbukti. Apalah sangat untuk menjadi hamba Allah yang baik!? Kerana semangnya fitrah manusia dijadikan dengan Ar-rahim Allah jua, ketika mana roh-roh berlegaran di luh-manfuz (arash) yakni sebelum ditiupkan akan roh ini ke dalam ketulan lembaga bayi di dalam rahim ibunya, mereka ini telah berjanji kepada Allah untuk taat dan patuh pada segala perintah dan larangan. Setelah berusia enam bulan maka roh-roh ini ditiupkan ke dalam janin maka bermulalah episod pengembaraan hidup di alam fana ini. Ini bermakna kita memang ciptaan yang terbaik dan sudah dibekalkan dengan sifat kebaikan yang pastinya bersesuaian dengan fitrah ajaran Islam. Ini juga telah disahkan oleh Rasulullah yang telah bersabda bermaksud “setiap anak itu dilahirkan dengan fitrah (Islam) maka kedua ibu bapalah yang menjadikan mereka yahudi, nasrani ataupun majusi”
Maka apabila syurgalah yang menjadi eleman ketaatan kita pada Allah kita sedar bahawa menjadi seorang mukmin adalah suatu nikmat yang hanya Allah sendiri yang memberikanya. Bagaimana kerana rindukan lambaian syurgalah para mujahid yang berjuang fi sabilillah pada era Rasulullah malah era seterusnya sanggup mengorbankan apa sahaja demi Islam. Nyawa, pangkat dan harta bukan ukuran nikmat yang mampu menggoyah pendirian para jiwa yang mencintai kematian kerana mereka tahu tingginya darjat siapa yang syahid di medan perang kerana menegakkan agama Allah. Mereka ini amat digeruni oleh lawan yang hanya berpaksikan ego, nama, harta, kesombongan dan ternyata maut adalah sesuatu yang mereka mahu hindari.Bahkan kalau mereka mampu milikinya dengan harta benda nescaya mereka akan berusaha mendapatkannya, akhirnya sedarlah mereka bahawa apa yang mereka agungkan dan banggakan hanyalah sia-sia belaka walhal pada masa tersebut telah terlambat. Bolehkah kita fikirkan di manakah para syuhada yang terdahulu berada sekarang? Adakah mereka masih menderita seksa sama seperti mereka hidup dahulu? Adakah mereka masih daif dan hina sedangkan mereka sedang merasakan nikmat dari salah satu dari taman syurga walaupun hanya berada di alam barzakh? Tiap hari yang dihitungkan mereka adalah untuk menuju puncak nikmat hakiki janji Rabbul Jalil yakni syurga tanpa hisap, para syuhada ini akan terus melalui titian sirat sepantas kilat dan terus ke destinasi kenikmatan abadi.
Tertanya kita,bagaimanakah diriku ini ya Allah!? Adakah layak syurgaMu untukku? Tiadakah ruang sisa syurgaMu untuk kami ini? Wahai saudaraku janganlah ditanya padaNya! Tanyalah pada diri kita apa penyebab yang membolehkan Allah membenarkan dengan rahmatnya untuk diri kita masuk ke syurganya. Sesugguhnya syurga itu sememangnya tercipta untuk sekelian umat manusia, bukankah datuk dan nenek segala manusia Nabi Adam a.s telah dicipta di syurga malah mendapatkan segala ilmu pengetahuan di syurga raya Allah ta’ala sebelum diarahkan oleh Allah ke dunia fana, itupun kerana kesilapan baginda sendiri yang terbelas pada permintaan Hawa yang telah dihasut oleh Iblis untuk memakan buah Khuldi dan ini telah dijelaskan dalam Al-quran. Ternyata menjadi kewajipan kita untuk berusaha mendapatkan kembali hak kita di sebagai penghuni syurga yang sememangnya akan dimuliakan oleh Allah, Tuan empunyanya. Maka jadilah mukmin yang sentiasa bekerja dan berusaha mendapat rahmat Allah yang pasti balasannya adalah syurga walaupun layak kita pada syurga yang paling bawah,InsyaAllah.
Thursday, 16 April 2009
Tujuan Hidup
Posted by amn077 at 22:12
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment