'Dalam keadaan marah, Umar al-Khattab menuju ke rumah adiknya. Dia mendengar dan mengamati dari luar rumah, kalimah dan ayat yang dialun begitu tersusun indah. Belum pernah didengari bait-bait seperti itu yang begitu memukau pendengaran, dengan maknanya yang mendalam membuat hati pasrah. Lalu bayu keinsafan mula menerjah, hatinya bersinar tersuluh hidayah'.
Keajaiban al-Quran bukan sahaja terkandung pada maknanya, malah ketelitian susun atur ayatnya mengalahkan pakar bahasa dan penyair yang masyhur pada zamannya. Pernah dicuba untuk ditandingi, namun tiada hasil sehingga kini.
Sejak dahulu lagi, ancaman untuk mengatasi keunggulan al-Quran telah muncul, namun tiada hasil yang ditemui selain kehampaan yang berterusan. Era modenisasi juga tidak terkecuali daripada cubaan anasir-anasir yang tidak pernah berputus asa untuk meragut keaslian dan menconteng kemurnian khazanah al-Quran. Percubaan demi percubaan untuk mengelirukan umat Islam dengan ayat-ayat dan surah-surah palsu tidak pernah padam.
Namun, al-Quran sebagai satu mukjizat maknawi dilindungi dengan penuh keajaiban. Pasti tiada versi palsu yang berlegar di pasaran selepas penerbitan tanpa gagal dikesan.
Dari segi sejarahnya, al-Quran yang merupakan lembaran-lembaran ayat, telah diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun sejak Baginda mula dilantik menjadi rasul. Bermula dengan ayat dari surah al-Alaq, disusuli dengan ayat-ayat dari surah al-Muzzammil, yang menjadi watikah pelantikan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasulullah, al-Quran tetap sebagaimana wajahnya yang asal. Yang membezakannya mungkin dari segi penampilannya sahaja. Jika dahulu ia terkandung dalam dada para sahabat, ia kemudiannya ditulis di atas pelepah pohon kayu dan kulit kambing. Inisiatif pada zaman Saidina Uthman Ibni Affan yang telah menyatukannya dalam bentuk mashaf merupakan kesinambungan ke arah memastikan mesej dakwah sampai sehingga ke generasi akhir zaman.
Tiada satu pun karangan bahkan kitab-kitab Nabi terdahulu yang dapat mengekalkan bentuknya sebagaimana versi asal, seperti ajaibnya kalamullah, al-Quran.
Menghafal keseluruhan suatu buku yang mengandungi 30 bab, atau mungkin salah satu babnya sahaja adalah mustahil bagi kebanyakan manusia. Apatah lagi untuk mencari sebilangan manusia dari pelosok benua yang berlainan, yang mampu menghafal lebih daripada 6,000 ayat yang kebanyakannya adalah dalam bukan bahasa ibunda mereka, dalam keadaan tiada berbeza antara versi seorang dengan seorang yang lain walau sedikit pun.
Logik akalnya memang begitu, namun keajaiban al-Quran membuktikan bahawa ia mampu berada dalam kotak ingatan manusia, tanpa mengira batas usia, warna kulit, merentasi sempadan bangsa dan budaya.
Keajaiban kandungannya juga tidak mampu dinafikan oleh siapa jua daripada golongan manusia yang berakal. Kemampuannya melakar dengan jelas peristiwa sejarah, menukil dengan terperinci peristiwa semasa dan membentangkan agenda yang akan berlaku pada masa hadapan cukup menakjubkan. Perjalanan hidup manusia, atau lebih tepat lagi setiap makhluk seisi alam telah diceritakan satu persatu dengan jelas bermula sejak zaman sebelum penciptaan Nabi Adam lagi sehinggalah ke destinasi terakhir pada alam yang muktamad iaitu syurga dan neraka. Peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekitar kehidupan kita sudah cukup menyediakan dalil aqli yang membuktikan kebenaran ayat-ayat al-Quran. Mempelajari kisah-kisah sejarah di dalam al-Quran bukan sahaja akan memberikan kita gambaran mutiara teladan daripada sirah para Nabi yang terdahulu bahkan melakarkan dengan jelas apakah akibat yang menimpa golongan kafir dan musyrikin jika menentang perintah Ilahi. Kisah Nabi Musa yang bermusafir sambil belajar daripada Nabi Khidir menukilkan adab-adab ketika berguru, yang kebanyakannya amat praktikal jika diamalkan dalam kehidupan semasa. Contohnya, kita sewajarnya memberi perhatian yang penuh sewaktu belajar, bertanya guru pada masa yang sesuai, menilai sesuatu bukan pada zahirnya sahaja, tidak mudah jemu dan sanggup menerima teguran dengan hati yang terbuka dan berlapang dada.
Nilai-nilai murni yang ditunjukkan dalam banyak lagi kisah teladan para Nabi dan solihin boleh diterapkan dan amat bersesuaian untuk diamalkan dalam kehidupan kita seharian.
Al-Quran juga tidak ketinggalan bahkan mendahului dalam perkembangan isu-isu semasa. Kepesatan pembangunan sains dan teknologi seolah-olah menyingkap rahsiarahsia al-Quran selama ini. Dalam bidang perubatan misalnya, perkembangan janin dalam uterus telah diungkapkan dengan teratur peringkat demi peringkat di dalam al-Quran walaupun penggunaan mesin pengimbas ultrabunyi belum lagi diperkenalkan.
'Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang lalu tulang belulang itu Kami bungkus daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang berbentuk lain. Maka Maha Suci Allahlah, Pencipta yang paling baik'. Surah al-Mu'minuun, ayat 12-14.
Sungguhpun jelas di dalam al-Quran diterangkan tentang peringkat-peringkat kejadian manusia ini, hanya sekitar tahun 1940-an sahaja para pengkaji dalam bidang embriologi manusia berjaya mencadangkan wujudnya beberapa peringkat dalam perkembangan janin manusia. Hanya beberapa tahun kebelakangan ini teori-teori itu telah diterima pakai setelah sains perubatan berjaya membuktikannya.
PenemuanIlustrasi yang padat dan jelas berkenaan peringkat hidup janin manusia itu merupakan suatu petunjuk yang tidak dapat disangkal bahawa al-Quran sememangnya keterangan yang ajaib, yang mendahului penemuan manusia secara saintifik. Hakikat ini telah diakui oleh seorang profesor dalam bidang anatomi manusia, Prof. Moore yang antaranya menyatakan bahawa keterangan secara terperinci itu pasti datangnya daripada Tuhan dan bukannya karangan manusia, yang telah menurunkannya kepada Nabi Muhammad SAW kerana sains perubatan manusia hanya dapat membuktikannya hanya beberapa abad selepas turunnya al-Quran.
Al-Quran juga telah memberi suntikan idea dalam perkembangan kajian-kajian baru sebagai contohnya penggunaan madu dalam bidang perubatan bagi menyembuhkan luka dan meningkatkan daya tahan tubuh melawan jangkitan. Aplikasi kekuatan besi dalam struktur binaan juga telah diinspirasikan melalui salah satu daripada ayat-ayat al-Quran, sebagaiamana firman Allah SWT dalam surah al-Hadid ayat 25 yang bermaksud :
'Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai-bagai manfaat bagi manusia...'
Selain itu, penerangan al-Quran tentang peredaran bulan dan matahari telah dijadikan sebagai asas perkiraan masa untuk kalendar yang digunakan sehingga ke hari ini. Ilmu astronomi, yang suatu masa dahulu dipelopori oleh ilmuwan Islam sebenarnya berputik daripada rasa ingin tahu yang tercetus hasil penerangan-penerangan tentang angkasa lepas di dalam al-Quran. Tidak terbatas pada teori-teori sahaja, cetusan idea daripada ayat al-Quran telah memberi banyak ilham dan motivasi kepada para pengkaji untuk mencuba kaedah atau penciptaan baru. Tidak mustahil jika dinyatakan bahawa idea untuk mencipta bom mungkin diambil daripada peristiwa burung ababil yang melontarkan batu-batu api ke atas tentera bergajah Abrahah dan reka bentuk terowong dasar laut diambil daripada peristiwa Nabi Musa a.s. membelah laut.
Proses kejadian alam yang lain seperti hujan dan kemarau, pertemuan laut dan sungai, kitar hidup tumbuh-tumbuhan dan perumpamaan melibatkan haiwan bermula daripada sekecil-kecil nyamuk dan semut sehinggalah kepada lembu dan keldai cukup menakjubkan dan cukup jumlahnya untuk mengetuk hati yang tulus ikhlas menerima hidayah.
Berdasarkan penjelasan mengenai peristiwa sejarah serta kesahihan pembuktian peristiwa semasa, amat wajarlah kita meyakini akan ramalan-ramalan atau lebih tepat lagi petunjuk awal yang diceritakan berkenaan dengan peristiwa yang bakal berlaku pada masa akan datang. Sesungguhnya al-Quran sarat dengan seribu satu keajaiban dan hanya keterbatasan akal manusia yang cetek sahaja membuatkan hanya sedikit daripada mutiara ilmunya yang dapat dicungkil.
Sunday, 12 April 2009
Keajaiban al-Quran atasi logik akal
Posted by amn077 at 20:31
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment