BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, 16 April 2009

Orang Melayu mahu belajar yang senang-senang sahaja...

ENAM puluh tahun lalu, keluarga saya tidak membenarkan saya belajar di sekolah Inggeris melalui Special Malay Class kerana takut saya tidak boleh mengucap Dua Kalimah Syahadah bila mati nanti. Cita-cita saya untuk menjadi diplomat tidak kesampaian. Dengan kelulusan yang ada, maka jadilah saya seorang guru sekolah Melayu di pendalaman.
Selepas lima puluh tahun merdeka, fahaman yang sama disebar oleh kumpulan elit Melayu. Mereka menghalang anak-anak Melayu terus belajar bahasa Inggeris melalui Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dengan alasan budak-budak ini nanti tidak boleh bercakap bahasa Melayu dengan baik serta hilang jati diri.
Anehnya, orang Melayu sentiasa merasa takut. Orang Melayu takut untuk bersaing. Orang Melayu takut untuk belajar lebih sikit. Orang Melayu mahu belajar yang senang-senang. Cabaran dan saingan adalah sesuatu yang menakutkan. Jika orang Melayu tidak sanggup mendaki Gunung Kinabalu, maka didesak pemerintah buat suatu peraturan supaya menghalang semua orang mendaki gunung tersebut. Jika orang Melayu merasa susah untuk belajar dan mengguna bahasa Inggeris, maka didesak kerajaan supaya haramkan PPSMI. Pendapat mereka yang disokong oleh kepetahan berbicara serta berlatar belakang status sosio, mereka mendapat perhatian.
Siapa yang lebih mengetahui potensi sebenar anak-anak desa semasa belajar Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Guru-guru yang setiap masa bersama-sama mereka lebih mengerti keupayaan anak-anak ini. Rujuk dan tanyalah guru-guru ini. Mereka yang berada di menara tinggi yang sekali sekala menoleh ke panorama desa, barang kali silap mata memandang. Kadang-kala kita ditipu oleh mata sendiri. Kerap kali kita juga ditipu oleh emosi sendiri.
Pekedai-pekedai Cina di tempat saya boleh bertutur bahasa Melayu, Mandarin, Hokkien, sedikit-sedikit bahasa Inggeris. Bila ke estet, orang-orang India boleh bertutur bahasa Melayu, Tamil dan fasih berbahasa Inggeris. Orang Melayu hanya tahu satu bahasa. Banyak orang Melayu yang tidak mengerti bahasa al-Quran. Malah banyak juga yang tidak faham apa yang dibaca semasa solat. Keadaan ini berlaku kerana orang Melayu tidak mahu bersusah payah untuk belajar.
Dalam diri orang-orang Melayu ada elemen reject. Elemen ini menjadikan orang Melayu sangat lemah dan sangat manja. Orang Melayu akan menolak apa saja yang ada unsur cabaran atau payah. Dalam usaha mencapai kecemerlangan pelajaran, orang Melayu lebih gemar kepada soalan bocor dan soalan ramalan. Dalam bidang ekonomi, orang Melayu lebih suka pada skim cepat kaya atau dana berangkai.
Budaya 'menolak' ini menyerang semua lapisan masyarakat Melayu. Bila ada pihak menaja penentangan terhadap PPSMI maka ramailah yang akan terpengaruh. Orang-orang Melayu dicadang supaya belajar yang mudah-mudah sahaja. Subjek yang berat serta susah janganlah dicuba. maka bertambah-tambahlah lagi ketakutan mereka untuk berusaha belajar.
Semangat 'Malaysia Boleh' perlulah diterjemah kepada 'Melayu Boleh'. Dalam lain perkataan, orang-orang Melayu tidak akan mengalah dalam apa juga gelombang. Orang Melayu harus tegak berdiri bersama kaum-kaum lain di Malaysia. Jika mereka boleh menguasai pelbagai bahasa, mengapa perlu orang Melayu berundur setapak ke belakang?
Tidak perlu kita bandingkan dengan orang Jepun yang kuat berpegang kepada bahasa mereka sebabnya di negara mereka cuma ada satu bangsa sahaja.
Pakar-pakar motivasi selalu menyarankan supaya kita berfikir di luar kotak. Di pusat pengajian tinggi diajar teori serta konsep 'kecerdasan pelbagai' dan 'inovasi' adalah suatu konsep yang amat disanjung tinggi.
Tidakkah PPSMI ini suatu hasilan pemikiran di luar kotak atau suatu inovasi yang menjadi teras amalan pengurusan masa kini?
GURU MELAYU LAMA
Kulim, Kedah.

0 comments: