Ibu bapa perlu wujud persekitaran, budaya sihat mantapkan jati diri generasi muda
WAJAH kegembiraan ibu dan ayah terpancar tatkala melihat anak bersedia membuka langkah menuju ke sekolah dengan 1,001 harapan supaya mereka diberi pendidikan sempurna serta menjadi insan berguna 'sejuk mata memandang'.
Itulah lakaran impian setiap ibu bapa untuk melihat zuriat mereka menjadi insan salih yang taat kepada perintah Allah, patuh kepada ibu bapa, berjaya dalam lapangan akademik (duniawi) dan sejahtera di akhirat.
Terpahat dalam hati ibu bapa mahu anak mendoakan mereka tatkala diri menemui Allah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila mati seorang anak Adam, maka putus amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak salih yang mendoakan kepadanya." (Hadis riwayat al-Bukhari)
Melahirkan insan salih adalah tanggungjawab ibu bapa dengan menjadikan persekitaran dan budaya sihat dalam pembinaan sahsiah jati diri yang mantap. Antara perkara yang boleh diberi perhatian ialah:
l Mendisiplinkan anak melaksanakan tuntutan solat fardu yang diwajibkan termasuk membina dan memupuk kekuatan diri anak dengan membiasakan mereka bangun pagi menunaikan solat Subuh, membaca al-Quran dan mengulang kaji pelajaran. Firman Allah bermaksud: "Dan perintahkan keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa." (Surah Taha, ayat 132)
l Membudayakan bersalaman dan mengucup tangan ibu bapa, anak mohon ampun maaf atas kesalahan dan memohon restu ibu bapa sewajarnya menjadi darah daging dalam diri sebelum mereka memulakan langkah ke sekolah.
Budaya itu dianggap remeh sesetengah pihak, tetapi hakikatnya adalah perkara yang memberi impak besar terhadap jalinan kemesraan antara ibu bapa dan anak. Impak ini akan memberi makna dalam diri anak untuk patuh, taat serta hormat kepada ibu bapa apabila mereka dewasa serta berkeluarga. Proses pendidikan mendidik anak adab sopan dan disiplin tinggi amat dituntut.
l Ibu bapa mengucup dahi anak dan mendoakan mereka supaya berjaya sebagai insan salih dan cemerlang duniawi serta ukhrawi. Amalan berdoa dikurniakan zuriat salih sudah lama dipraktikkan oleh nabi dan rasul. Ini pengajaran yang amat penting bagi melahirkan generasi salih, taat perintah Allah dan Rasul-Nya.
Firman Allah bermaksud: "Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan." (Surah Ali-Imran, ayat 38)
l Menerapkan dalam diri anak supaya tidak 'melencong' ke tempat lain dan ponteng kelas. Penerapan budaya belajar secara istiqamah perlu diterapkan dan disebatikan dalam diri anak supaya menjadi darah daging dalam kehidupan mereka.
Belajar boleh diumpamakan berada di medan perang yang medan menguji sejauh mana ilmu di dada dapat dimanfaatkan untuk menghadapi cabaran. Rasulullah SAW memberi peringatan kepada umatnya dengan sabda bermaksud: "Daripada Abu Bakrah,
Nabi SAW bersabda: Jadikan dirimu orang alim atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama atau orang yang mencintai (tiga golongan yang itu); dan jangan engkau menjadi (dari) golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa." (Hadis riwayat al-Bazzar)
l Mendisiplinkan anak memilih kawan cerdik dan berilmu yang mampu membimbing ke arah kecemerlangan duniawi serta ukhrawi. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesungguhnya perumpamaan rakan yang baik dan yang jahat itu, ibarat rakan pembawa minyak wangian dan peniup api di dapur arang; ada pun rakan yang baik seperti pembawa wangian, ia (membawa kesan kebaikan) iaitu sama ada akan menghadiahkanmu wangian atau kamu membeli daripadanya ataupun kamu akan dapat bauan wanginya juga. Adapun rakan yang jahat seperti peniup api dapur, sama ada membakar bajumu atau akan mendapati bauannya (peluh) yang tidak enak." (Hadis riwayat Muslim)
Setiap ibu bapa wajar memastikan pergerakan anak dan kawan mereka. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang meneliti siapa yang menjadi temannya." (Hadis riwayat Abu Daud)
l Hormati guru dan mohon restu dihalalkan ilmu yang disampaikan. Islam mengajarkan kita menjadi murid yang dibanggakan guru, menjadi contoh kepada rakan serta disenangi guru. Jangan menjadi murid yang menunjuk pandai di depan guru atau mengkritik guru di belakangnya.
Dengan jasa baik guru yang menyampaikan ilmu, maka lahir insan menjadi kebanggaan, salih di mata, sejuk di hati dan sarat ilmu di dada. Sumbangan guru atau ulama kepada kita tidak ternilai harganya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Daripada Ali katanya, Rasulullah SAW bersabda: Ulama adalah ibarat lampu yang menerangi bumi dan adalah khalifah para nabi dan pewarisku dan pewaris nabi." (Hadis riwayat Ibnu Addi)
sumber: Oleh Mohd Zamri Shafie
Thursday, 16 April 2009
Enam pendekatan bentuk sahsiah anak salih
Posted by amn077 at 21:53
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment