BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, 16 April 2009

Transformasi jiwa

MENDIDIK jiwa meskipun senang diungkapkan tetapi secara realitinya bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dilaksanakan. Ini terbukti apabila soal mendidik jiwa ada kalanya gagal ditangani oleh mereka yang petah membicarakan atau tahu mengenai selok-belok mengenainya. Malah kajian-kajian yang dibuat berkaitan soal kejiwaan masih belum mampu menjadikan pengkajinya memiliki ketenangan jiwa atau kerehatan rohaniah. Bahkan seringkali kecenderungan mengkaji soal kejiwaan secara mendalam menjadikan seseorang itu sakit jiwa, sering mengalami tekanan perasaan dan ada juga yang tersesat jalan.
Kepentingan jiwa bagi manusia adalah seiring dengan kepentingan fizikal. Kerana tanpa jiwa atau roh, manusia hanyalah bangkai yang tiada erti dan nilai. Jiwa bagi manusia adalah umpama melodi bagi muzik atau peluru bagi selaras senapang. Biarpun betapa penting soal jiwa namun apa yang sering terjadi ialah pengabaian kepada aspek kejiwaan dalam kehidupan manusia.
Kecenderungan
Dalam kehidupan serba moden hari ini secara realitinya penumpuan seringkali diberikan kepada aspek lahiriah dan fizikal. Di mana-mana sahaja akan kita dapati kecenderungan manusia mengutamakan soal fizikal. Di sekolah, di universiti dan di pejabat-pejabat kerajaan selalunya aspek fizikal diberikan pembiayaan yang begitu tinggi jika dibandingkan dengan aspek pembangunan jiwa.
Dalam pada itu secara jujurnya kita mesti mengakui bahawa negara kita, malah dunia hari ini sedang berhadapan dengan isu yang lebih besar dari isu kemelesetan ekonomi dan lebih besar dari isu pergolakan politik, iaitu isu kegawatan tingkah laku manusia. Semakin hari tindak tanduk manusia semakin susah difahami dan semakin sukar diramal. Stail keruntuhan nilai dan jenayah sudah di luar batasan akal manusiawi memikirkannya. Jika dibuat perbandingan, di zaman jahiliah dahulu jenayah yang melibatkan pembunuhan anak-anak perempuan dengan cara menanamnya hidup-hidup berlaku adalah kerana dipengaruhi kepercayaan khurafat bahawa mereka membawa sial kepada keluarga. Tetapi hari ini anak-anak dibunuh sama ada lelaki mahupun perempuan dengan dilempar ke dalam sungai, disumbat di lubang tandas atau dibiar dikerumuni semut di dalam bakul sampah akibat daripada perbuatan seks bebas.
Dalam menangani kemelut keruntuhan nilai yang semakin serius berlaku di kalangan umat manusia hari ini sepatutnya kita kembali mengambil pendekatan yang diajar oleh Allah SWT, kerana Dia lebih tahu tentang hakikat kejadian manusia yang dicipta-Nya.
Bagi memandu manusia ke arah mengecapi kehidupan yang aman dan harmoni Allah SWT telah mengutuskan para rasul dengan membawa mesej yang sama melalui satu pendekatan yang sama. Meskipun dalam masa dan tempat yang berbeza namun mesej dan pendekatan adalah sama. Kerana manusia mempunyai sikap dan tingkah laku yang serupa dan Allah Taala lebih mengetahuinya. Maka tidaklah susah untuk kita menjadikannya sebagai panduan. Para utusan Allah telah diberikan tugas berat di dalam memandu manusia dengan dibekalkan dengan tiga strategi utama iaitu: Pembacaan ayat-ayat Allah, pembersihan jiwa dan pengajaran al-Kitab dan hikmah. Perkara ini dinyatakan dalam surah al-Jumu 'ah ayat 1-2.
Ayat ini secara jelas menyatakan bahawa tugas utusan-utusan Allah, di samping mengajar manusia tentang hakikat pengabdian, juga diamanahkan untuk memimpin manusia ke arah pembersihan jiwa. Kerana dengan jiwa yang bersih barulah manusia dapat mengenali siapakah Tuhannya yang sebenar. al-Quran sendiri telah menegaskan bahawa hakikat kejayaan dalam hidup ialah sejauh mana manusia mampu membersihkan jiwanya sama ada dari kesyirikan mahupun daripada cengkaman ideologi-ideologi ciptaan manusia yang menyesatkan. Ini ditegaskan dalam surah as-Syams ayat 7-10.
Berilmu tanpa jiwa yang bersih bakal melahirkan golongan intelektual yang hanya memikirkan populariti dan keuntungan yang boleh diperoleh hasil ketinggian ilmunya. Malah pengagungan kepada ilmu semata-mata boleh menjadikan seseorang itu sebagai manusia sekular. Berharta pula tanpa jiwa yang bersih boleh melahirkan hartawan yang kedekut dan tidak pernah cukup dengan apa yang ada serta sanggup mengejar harta dan pangkat meskipun dengan cara yang salah.
Justeru tidak dapat dinafikan bahawa pendidikan jiwa dan kebersihan hati adalah suatu yang sangat penting dan perlu diberikan penekanan. Soalnya bagaimanakah jiwa boleh dididik dan dibersihkan?
Meskipun soalan yang dikemukakan nampak sukar untuk dijawab, namun dari segi teorinya pendidikan jiwa adalah suatu yang telah jelas kaedah dan panduannya. Cuma akibat daripada kebimbangan kita kepada aspek-aspek yang didakwa kononnya tidak penting seperti ini menyebabkan kita terlalu kabur mengenai aspek-aspek kejiwaan.
Nabi SAW bersabda maksudnya: Sesungguhnya Allah Taala tidak melihat kepada rupa paras dan warna kulitmu, tetapi Dia melihat kepada hatimu dan amalanmu. (riwayat Muslim).
Pendidikan jiwa sebenarnya telah diatur begitu teliti oleh Allah SWT melalui kefarduan ibadah-ibadah utama dalam Islam seperti solat, puasa, zakat dan haji. Melalui solat jiwa akan terdidik dengan sifat tenang dan fokus. Solat berjemaah pula mendidik jiwa supaya merendah diri, sabar, patuh dan menghormati orang lain. Oleh itu tidak hairanlah solat dikagumi fungsinya oleh sesetengah pemikir bukan Islam. Sebagai contoh apa yang diungkapkan oleh Sarojini Naidu seorang penyajak terkenal India.
Pendidikan jiwa juga boleh dibangunkan melalui zikrullah, membaca al-Quran, aktiviti dakwah, duduk dengan orang-orang soleh, ziarah kubur, ziarah orang sakit, bersedekah, berkawan dengan golongan fakir atau susah dan menghadiri majlis-majlis ilmu. Kesemua aktiviti ini boleh meruntun jiwa memiliki sifat sabar, rendah diri, takut mati, syukur dan sebagainya. Jika sifat-sifat ini dimiliki oleh seorang yang berilmu maka ia akan menjadi ilmuan yang tawaduk serta menggunakan ilmunya untuk kemaslahatan umum dan bukannya untuk kepentingan peribadi. Dan jika sifat-sifat ini dimiliki oleh seorang yang berharta maka ia akan menjadi hartawan yang pemurah, bersyukur dan merendah diri. Malah jika sifat-sifat ini dimiliki oleh seorang pemimpin, ia akan menjadi pemimpin yang sentiasa takut melakukan kezaliman.
Persoalannya, apakah kita sudah bersedia menerima aktiviti-aktiviti pendidikan jiwa dalam institusi dan organisasi yang kita anggotai hari ini? Apakah pejabat-pejabat kerajaan yang dilanda krisis kegawatan tingkah laku manusia hari ini bersedia melakukan transformasi ke arah menjalankan secara lebih serius program-program pembangunan jiwa? Apakah sekolah-sekolah dan institusi pendidikan tinggi yang dilanda krisis keruntuhan nilai yang dahsyat hari ini bersedia menjadikan program pembangunan jiwa sebagai satu kurikulum utama dalam pengajaran dan pembelajaran?
Apakah kita bersedia menjadikan pembangunan jiwa sebagai asas utama menangani kemelut ahli-ahli politik dan pemimpin-pemimpin yang terlibat dengan pecah amanah dan rasuah? Atau kita sememangnya terus menganggap aspek kerohanian adalah suatu yang bersifat individu dan tidak perlu diberikan keutamaan. Atau kita terus beranggapan bahawa agama tidak wajar disentuh secara terangan di dalam situasi kehidupan masyarakat majmuk dan ia hanya layak menjadi topik di dalam masjid sahaja?
Lihatlah betapa Allah Taala sendiri telah memberikan satu panduan bahawa pendidikan jiwa dan pembersihan hati merupakan satu strategi penting di dalam membetulkan tingkah laku manusia. Sebagai contoh Nabi Musa a.s di dalam berhadapan dengan situasi yang paling gawat ketika berhadapan dengan pemimpin paling zalim dalam sejarah Tamadun Manusia iaitu Firaun, Allah SWT telah mengajarnya supaya mendatangi Firaun dan mengajaknya membersihkan jiwa. Kerana segala keangkuhan, kekejaman dan kezaliman Firaun adalah berpunca dari jiwa yang celaru. Ini diperkukuhkan dalam surah al-Nazi 'at ayat 17-18.
Kesimpulannya, pendidikan jiwa dan kerohanian hendaklah menjadi agenda utama setiap institusi pada hari ini. Kerana kita mengakui bahawa kita sudah berjaya membangunkan aspek fizikal dalam pelbagai bidang seperti bangunan pencakar langit, taman-taman indah, kemudahan infrastruktur, kecanggihan pusat sukan dan kemajuan pengangkutan. Oleh itu kita perlu memberikan penumpuan pula kepada pembangunan aspek-aspek kejiwaan. Semoga kita sama-sama menginsafi bahawa tiada cara lain untuk mengembalikan keharmonian hidup manusia melainkan kembali kepada cara dan kaedah yang disediakan oleh Yang Maha Pencipta!

sumber: Oleh ZURIDAN MOHD. DAUD

0 comments: