BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, 16 April 2009

Kuasa Minda

Umum tahu bahawa sesuatu matlamat perlu mempunyai lima elemen iaitu spesifik, boleh diukur, boleh dicapai, realisitik dan mempunyai tempoh masa untuk mencapainya. Dale Carnagie, penulis buku 'How to Stop Worrying and Start Living' pula mengatakan bahawa sebenarnya kitalah yang membentuk peribadi kita. Dan arahan fikiran kita adalah faktor utama yang menentukan perjalanan hidup kita. Apa yang diterima oleh setiap orang adalah akibat terus daripada fikirannya sendiri. Nyata, terdapat perkaitan yang rapat antara lima elemen yang disebutkan di atas dan kuasa minda seseorang. Di sinilah peranan komunikasi di antara minda sedar dan minda bawah sedar (subconscious mind).

Napoleon Hill menggariskan tiga langkah untuk merangsang minda bawah sedar bagi mencapai satu cita-cita. Ambil contoh, kita adalah seorang wakil jualan kereta dan bercita-cita untuk mengumpulkan sejumlah wang. Pertama, pergi ke satu tempat sunyi yang tiada gangguan, contohnya bilik tidur pada waktu malam. Tutup mata dan baca penyataan bertulis yang mempunyai jumlah wang yang ingin dikumpulkan, had masa untuk mencapainya dan apa yang perlu dilakukan untuk mencapai cita-cita tersebut.

Contohnya, jika mahu mengumpulkan RM500,000 pada 1 Januari 2007 penyataan bertulis itu perlu berbunyi, "Menjelang 1 Januari 2007, saya akan mempunyai wang sejumlah RM500,000 yang akan dikumpulkan sedikit demi sedikit dalam tempoh tersebut. Untuk mendapatkannya, saya akan memberikan perkhidmatan yang efisyen dan terbaik atas kapasiti saya sebagai wakil jualan kereta. Saya yakin saya dapat mengumpulkan wang sejumlah RM500,000 jika saya menjual ABC buah kereta dalam tempoh seminggu secara konsisten."

Kedua, ulang langkah pertama tadi setiap pagi dan malam sehingga kita dapat melihat (dalam imaginasi) wang yang ingin dikumpulkan tadi.

Ketiga, letakkan satu salinan penyataan bertulis tadi di tempat yang boleh kita lihat setiap pagi dan malam. Bacanya sebelum tidur dan sejurus selepas bangun pada paginya sehingga dapat dihafal penyataan bertulis itu tadi.

Tiga langkah tadi adalah untuk memberi arahan kepada minda bawah sedar kita. Perlu diingat bahawa minda bawah sedar akan hanya teruja dengan arahan yang beremosi dan penuh dengan perasaan. Napoleon Hill sedar bahawa langkah-langkah tadi nampak tidak praktikal tetapi jika dilakukan secara konsisten, kita akan dapat melihat hasilnya satu hari nanti. Itulah kuasa minda.

0 comments: